Memaparkan catatan dengan label Tauhu & Tofu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tauhu & Tofu. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 20, 2023

Tauhu Marmite dan Cucur Labu

Assalamualaikum. Selamat pagi! Salam Jumaat.

Ini bekal saya. Tauhu Marmite dan cucur labu. Pagi tadi buka peti ais tengok ada beberapa ketul tauhu dan hirisan labu. Apa lagi, cepat-cepat saya proses supaya jadi sesuatu yang sedap dimamam. Cucur labu is my favourite! Sedang sibuk menggoreng, sempat jugalah beberapa ketul cucur labu masuk ke mulut. 😁

Sebenarnya, saya ada banyak urusan di luar. Tidak pasti selesainya pukul berapa. Jadi, saya bawalah bekal siap-siap di dalam siya. Kalau perut mula berdengung, bolehlah makan cucur labu dan tauhu ini buat alas perut. Tak perlu kalut dan pening kepala cari kedai. Musim nak raya Cina ni, faham-faham sahajalah sesaknya macam mana.

Tauhu Marmite dan cucur labu

Jumaat, Oktober 28, 2022

Tauhu Cabai Garam yang Enak dan Mudah Disediakan

Sajian masakan cabai garam atau cabe garam cukup popular di seberang kerana bukan sahaja enak, malah sangat mudah disediakan dan boleh diolah menggunakan aneka bahan makanan. Menu cabai garam sebenarnya terdiri daripada dua komponen - (i) bahan protein atau makanan laut yang disalut tepung, digoreng rangup dan (ii) tumisan cilinya.

Saya menggunakan tauhu untuk menu cabai garam kali ini.  Tauhu dipotong kepada beberapa bahagian, digaul rata dengan tepung salutan seterusnya digoreng. Setelah itu, sediakan pula cabai garam - hirisan cili, bawang putih, daun bawang, daun limau (ada sesetengah resepi tidak menggunakan daun limau) yang ditumis dan diperasakan dengan serbuk lada putih dan garam secukup rasa. Gaulkan tauhu dengan tumisan cabai garam hingga sekata ... 

... dan inilah hasilnya!

Tahu Cabe Garam

Rabu, September 07, 2022

Resepi Paprik Tauhu Telur dan Kedondong

Assalamualaikum.

Hari ini saya ingin berkongsi resepi hidangan menggunakan tauhu telur dan kedondong. Kelmarin, sewaktu buka peti sejuk, tengok ada beberapa tiub tauhu telur. Macam-macam resepi menggunakan tauhu telur yang boleh disediakan sebenarnya tetapi tiba-tiba pula jadi buntu tidak pasti hendak masak apa. 😂

Pada mulanya saya berhasrat buat egg drop soup letak tauhu telur. Tetapi, tekak tak rasa macam nak makan sup pula. Pandang-pandang keliling, nampak kedondong muda yang beli di Econsave. Banyak saya beli hari tu. Maklumlah, datang fasa craving nak cecah kedondong dengan cuka dan cili api. Ting! 💡 Kita buat paprik. Sedap masam-masam manis makan dengan nasi panas!



Khamis, September 30, 2021

Tauhu Marmite Ekspres

Hidangan tauhu marmite ini saya buat untuk makan tengah hari Rabu lepas. Bott ada urusan di luar jadi saya seorang di rumah. Mula-mula tu tak kalut nak masak sebab rasa macam tak lapar. Leka saya menonton drama Cina back-to-back sambil siapkan tempahan kad ucapan sehinggalah tiba-tiba perut memberontak. Bukan sikit-sikit punya tahap berkeroncong. Dah macam semboyan kapal bunyinya. 

Bergegaslah saya ke dapur untuk menyediakan makanan. Buka peti sejuk, keluarkan tauhu dan terus proses untuk buat Tauhu Marmite. Ala-ala menu ayam goreng Marmite lah. 😊

Ahad, Mei 16, 2021

Resepi Cucur Tauhu

Assalamualaikum. Salam Syawal ke - 4. Hari ini kita bercucur tauhu ye. Sebenarnya, sebelum raya beli tauhu sebab nak buat sambal goreng Jawa. Kemudian, meronda satu kampung cari tempe tak jumpa. Habis! Padan muka saya. Yakin je tempe sentiasa ada dekat kedai 😂 !

Tengah frust tak jumpa tempe, jiran lama saya telefon. Dia beritahu sebelah petang hendak hantar kuah lontong, rendang, ketupat palas, lemang dan sambal goreng Jawa untuk saya dan Bott. Nenek P kat sebelah ni pun dah cakap, juadah raya dia sponsor. Tak perlu kami hendak susah payah masak.

Alhamdulillah, kemayuran kami berdua dengan pelbagai lauk-pauk raya. Sudahnya, saya cuma masak ayam daun kari  (lauk wajib raya saya) je untuk dimakan dengan nasi himpit. 

Baru nilah hendak diproses tauhu yang beli tempoh hari 😊. Jika kalian ada tauhu di rumah, tidak kiralah tauhu keras yang biasa ataupun tauhu lembut seperti tauhu Jepun dan tauhu telur tu, bolehlah cuba untuk buat resepi cucur tauhu saya ini. Hanya tiga bahan utama yang diperlukan. Hasilnya memang enak! Jom tengok resepinya.

Cucur tauhu mudah

Rabu, April 21, 2021

5 Hidangan Lazat Indonesia untuk Dicuba

Assalamualaikum. Buntu memikirkan hendak masak apa hari ini? Apa kata kalian cuba hidangan dari seberang? Hari ini saya ingin kongsi lima lauk-pauk Indonesia yang enak untuk dijadikan juadah santapan seisi keluarga. Selamat mencuba!


Semur Ayam

Semur Ayam

Rabu, Mac 03, 2021

Resepi Air Fryer - Tauhu Gejrot

Hari ini saya ingin kongsi resepi tauhu gejrot versi saya yang disediakan menggunakan air fryer. Apa itu tauhu gejrot? Tauhu gejrot merupakan sejenis hidangan masakan Indonesia yang berupa potongan tauhu goreng, dimakan dengan kuah  bercili yang masam-masam pedas.

Ikut resepi asal, kena pakai tauhu Sumedang. Susah nak jumpa tauhu Sumedang ni. Kali terakhir saya beli di pasar tani. Sekarang ini tak tahulah ada lagi ke tidak produk tauhu Sumedang dijual di sana. Tetapi tak mengapa, pakailah apa-apa jenis tauhu pun. Tauhu keras biasa boleh. Tauhu kering pun boleh. Ini saya pakai tauhu keras biasa.

Penyediaan resepi ini ada dua proses. Satu kita mengulek. Tumbuk kasar bahan-bahan yang ada. Satu lagi, di sinilah peranan air fryer - kita hendak goreng tauhu tanpa menggunakan minyak. Jangan risau, bagi yang tidak miliki air fryer, kalian goreng sahaja tauhu seperti biasa ya.



Rabu, November 04, 2020

Resepi Popcorn Tauhu

Hai semua! Hari ini saya ingin kongsi satu lagi hidangan mudah berasaskan tauhu. Popcorn tauhu. Boleh dijadikan lauk, makan bersama nasi atau sediakan sebagai makanan cekut untuk dihidangkan kepada keluarga atau tetamu. Hendak masak popcorn tauhu ini sangat mudah. Bahan utama yang kalian perlukan ialah tauhu dan Tepung Bestari. Ya, betul. Tepung Serbaguna Bestari yang orang selalu guna untuk buat goreng-gorengan tu. 

Beginilah rupa paras kejadiannya.

Popcorn tauhu yang enak!

Terliur tak? Sudah rangup bersalut begini, orang yang kurang gemar makan tauhu pun akan suka tau! OK, waktu untuk intai resepi.

Jumaat, Jun 01, 2018

Resepi Air Fryer - Tauhu Bergedel

Tauhu bergedel memang kegemaran saya. Suka sangat makan tauhu bergedel, cicah dengan kuahnya siap dengan cili api. Bila gigit tang cili api tu, fuhhh terangkattttt!!

Tahun lepas si Cekengah rajin beli tauhu bergedel ni sebagai salah satu hidangan berbuka puasa kami. Alang-alang dah suka tu, saya mula buat sendiri. Buat banyak barulah puas makan.

Tauhu bergedel versi saya disediakan guna air fryer. So, saya goreng (masak) tidak perlu guna minyak. Kiranya ni healthier version of tauhu bergedel lah. Lagipun, saya prefer guna air fryer time bersilat busy di dapur. Tak perlu tunggu perhati gorengan di dalam kuali. Masukkan je ke dalam air fryer, set timer, biarkan dan TINGGGG! Siap!


Resepi Tauhu Bergedel Mudah


Selasa, April 24, 2018

Resepi Nuget Tauhu

Hari ini saya ingin berkongsi satu resepi mudah dan sedap berasaskan tauhu. Tauhu yang saya guna untuk resepi ini ialah tauhu keras putih yang biasa tu ye. Bukan tauhu Jepun, tauhu kering atau versi yang goreng. 

Tauhu biasa jadi menu kami sekeluarga. Sesuai untuk diet Cekebon juga. Saya kalau ke pasar  memang automatik akan TERRR-beli banyak sekiranya tauhu tu nampak segar. Lepas tu mulalah pening kepala nak masukkan tauhu dalam plan menu mingguan sebab takut cepat rosak.

Kali ini saya cuba buat nuget tauhu. Buat dikunyah-kunyak ketika minum petang. Ingin minimakan penggunaan minyak dalam masakan, jadi nuget ini saya masak di dalam air fryer. Bagi yang tiada air fryer, jangan risau. Goreng seperti biasa pun boleh.


Nuget Tauhu dan Mayones Keju

Nuget Tauhu

Ahad, Julai 24, 2016

Resepi Telur Dadar Bertauhu

Ini salah satu variasi hidangan telur yang yummy. Selalunya kalau nak masak tak de mood atau buntu nak buat hidangan apa, ini antara dish mengelat saya. Senang dibuat, sedap pun sedap dan pasti terlajak licin. Secara asasnya, hidangan ni hidangan telur dadar + hirisan tauhu keras. Makan begitu sahaja dengan nasi. Cicah dengan sambal kicap atau kuah kacang untuk lebih terangkat :)



Jumaat, Mei 27, 2016

Resepi Tauhu Goreng Berlauk

Hidangan ini menggunakan tauhu telur dan tauhu keras biasa. Saya olah semula untuk dapatkan tekstur yang sedang-sedang. Tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras. Bahan-bahan untuk inti atau 'lauk' tauhunya bergantung kepada kita. Tengok-tengoklah apa yang ada di dapur. Saya guna hirisan dada ayam dan kucai sebab masa tu tiada daun bawang dan daun sup di rumah.

Tauhu Telur Goreng

Selasa, Disember 08, 2015

Selasa, April 14, 2015

Resepi Bebola Ayam & Tauhu

Mari cuba resepi bebola ayam dan tauhu ni. Sesuai untuk hidangan minum petang. Nak buat lauk pun boleh. Selalunya saya makan bebola ini dengan sos cili Thai. Nak makan dengan apa-apa sos kegemaran kalian pun sedap - sos black pepper, cili kicap, mayonis, mustard...ikut cita rasa masing-masing ye :)

Oh, bebola ayam dan tauhu saya ni kurang serinya. Warna hijau tak ada sebab tak letak hirisan daun bawang dan daun sup. Last minute baru perasan 'hijau-hijau' tu tiada dalam stok. Tetapi, begini sahaja dah cukup enak dah. Yang pasti bebola ayam dan tauhu ini lebih sihat berbanding bebola cucuk-cucuk yang kita beli.

Bebola Ayam dan Tauhu

Sabtu, Julai 19, 2014

Resepi Mudah - Sambal Hijau Tempe dan Tauhu


Sambal tempe dan tauhu ni mudah je nak disediakan. Selalunya saya buat guna cili merah atau cili kering. Kali ni tukar selera, kita guna cili hijau pula. Goreng tauhu dan tempe yang telah diperasakan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Ketepikan. Tumbuk kasar cili hijau (lebih kurang 10 biji) dan tumis bersama sebiji bawang besar (didadu) sehingga cili masak. Masukkan dua sudu besar cuka putih dan sedikit garam. Biarkan seketika. Kemudian, gaulkan dengan tempe dan tauhu. Sedia untuk dihidang :)


Eh, kejap! Biar saya tepek resepi sambal hijau di bawah ini:


Resepi Sambal Hijau Mudah

Bahan yang diperlukan:
  • 1 - 2 labu bawang besar (potong dadu)
  • 4 - 5 ulas bawang putih (mayang)
  • 6 batang cili hijau dan 5 batang cili api (cili ni ikut citarasa masing-masing - boleh tumbuk/blend saja)
  • 1 keping asam keping
  • garam secukup rasa
  • minyak untuk menumis


Langkah-langkah penyediaan:
  1. Panaskan kuali. Masukkan 2 ke 3 sudu minyak. Tumis bawang merah, diikuti dengan bawang putih hingga naik bau.
  2. Masukkan cili hijau dan cili api. Tumis hingga garing. Masukkan asam keping. Perisakan dengan garam. Hasilnya sepatutnya jadi macam sambal berlada hijau.